35 Ladang Ternakan Babi Di Paya Mengkuang Diwarta Kawasan Wabak Penyakit ASF

JASIN, 13 Jan – Kerajaan Negeri Melaka bersetuju mewartakan 35 ladang ternakan babi di Paya Mengkuang, Masjid Tanah sebagai kawasan wabak dan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pewartaan itu adalah bagi mengawal penularan penyakit ASF daripada merebak, namun tiada tempoh khusus ditetapkan.

“Pewartaan ini juga pertama kali dan tiada tempoh tertentu, sekiranya penyakit ASF ini tamat maka pewartaan itu juga tamat.

“Ia hanya melibatkan ladang ternakan sahaja supaya kawalan di situ akan lebih ketat dan penyakit ini tidak merebak atau berjangkit, di samping hanya 45,000 ekor ternakan sahaja dibenarkan di situ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia mengesahkan penyakit ASF telah menjangkiti 16 ladang babi komersial di kawasan tersebut.

Dalam pada itu Sulaiman berkata kerajaan negeri akan memasang siren kecemasan di 124 kawasan di Melaka yang berisiko banjir.

Katanya langkah itu akan diselaraskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan Unit Kerajaan Tempatan (UKT) di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka.

“Kaedah ini juga dilihat boleh memberi peringatan dan amaran awal kepada peduduk sekitar untuk bersiap siaga jika berlaku banjir,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.