UMNO Terus Mara, Akan Kembalikan Kemakmuran Dan Kesejahteraan Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Jan – UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia membawa maksud yang sangat mendalam dan besar ertinya.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia suatu pernyataan bahawa UMNO akan mengutamakan rakyat dalam keadaan apa sekali pun.

“Suatu tekad bahawa UMNO tidak akan menyerah dan berundur dalam perjuangannya.

“Suatu perakuan bahawa UMNO tidak akan sesekali mengabaikan semangat dan prinsipnya.

“UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia semakin jelas dan nyata selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya lagi, walaupun tertewas angkara fitnah dan tipu daya pada PRU-14, UMNO bangkit dan terus mara penuh yakin tanpa gentar.

“Langkahnya mungkin terhenti seketika bermuhasabah dan kemudiannya bertambah laju dan deras.

“Tiada apa lagi dapat menyekat kemaraannya selepas itu walau sebesar gunung fitnah cuba menghadang.

“Kalah sekali bukan bermakna kalah selama-lamanya, malah menjadikan UMNO lebih berkobar,” tegas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Ulasnya lagi, para pembohong dan penzalim kekhuatiran kerana tidak menjangkakan itu respons UMNO kepada kekalahan.

“Mereka tidak menyangka UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia bukan sekadar kata-kata.

“Sebaliknya sanubari berjuta ahlinya demi sebuah perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan oleh mereka yang rakuskan kuasa” katanya.

Justeru tambahnya, dengan izin Allah SWT pasti UMNO mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat pada PRU-15. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.