Santuni Ahli Dan Masyarakat Akar Umbi, UMNO Teruskan Tradisi Membela Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Penekanan kepada khidmat bakti dan menyantuni masyarakat bukan hanya sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang semata-mata sebaliknya ia agenda pelaksanakan berterusan sebagaimana seringkali diingatkan oleh pucuk pimpinan UMNO untuk membela rakyat dan tidak tertumpu kepada ahli-ahli UMNO sahaja.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata perkara ini seringkali dibangkitkan serta ditekankan oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahukan perkara berkenaan terus menerus dilaksanakan oleh pimpinan parti pelbagai peringkat.

“Hakikat ini antara yang ditekankan oleh Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu majlis pertemuan antara pimpinan UMNO Sabah Bahagian Tawau dan Kalabakan apabila mengingatkan jentera parti tentang persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15),” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Kata Abdul Aziz lagi, gerakan menyantuni ahli dan masyarakat di akar umbi sentiasa dilaksanakan dalam usaha mendengar keluh kesah pelbagai peringkat termasuklah di akar umbi.

“Pada pertemuan ini juga, setiap ahli digesa memulakan gerakan untuk menyantuni setiap anggota akar umbi dan masyarakat kerana walaupun UMNO mempunyai ahli yang ramai ianya bukanlah satu jaminan boleh menang.

“Apa yang pasti perlu dengar suara mereka dan angkat suara mereka. Perjuangan untuk membela rakyat perlu diteruskan walau sesukar manapun,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.