Pemilik Tanah Boleh Ditangkap Dan Didakwa Jika Bawa Keluar Pasir Tanpa Kebenaran

IPOH, 12 Jan – Tindakan tangkap dan dakwa di mahkamah akan dikenakan sekiranya pemilik tanah didapati menjalankan aktiviti pengeluaran pasir dari Pantai Pasir Panjang di Manjung, yang belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada kegiatan haram itu dilaksanakan di kawasan pendaratan penyu yang perlu dipelihara berkenaan.

“Kita ada akta yang diperuntukkan dan sudah tentu dia akan ditangkap dan dibicarakan seterusnya hukuman denda yang boleh dikenakan kerana mengeluarkan hasil galian tanpa lesen,” katanya pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemantauan yang dilaksanakan oleh PTG mendapati tiada operasi membawa pasir yang dikeluarkan dari kawasan terlibat setakat ini.

Bagaimanapun katanya pemilik tanah berhak untuk memasuki tanah milikannya bagi menjalankan kerja yang diingini termasuk mencangkul dan menghasilkan tanaman untuk pertanian.

Mengikut Enakmen Mineral Negeri Perak 2003 pindaan 2013, mana-mana orang yang didapati memindahkan mineral tanpa lesen boleh didenda maksimum RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.