Pasca-PKP: Pembangunan Rumah Mampu Milik Dirancakkan, Giatkan Pemilikan – Dr Fathul Bari

PETALING JAYA, 12 Jan – Pembangunan projek-projek rumah mampu milik Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Kuala Lumpur dan Selangor kini telah dirancakkan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diyakini akan mampu menggiatkan pemilikan rumah dalam kalangan M40.

Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya yang juga Ahli Majlis Kerja (MKT) UMNO berkata pelaksanaan PKP sejak Mac 2020 telah menyebabkan proses pembinaan terpaksa diperlahankan sekaligus kelewatan dalam penyiapan projek dan kini telah dirancakkan semula dengan sasaran tarikh siap yang baru.

“Saya mengambil maklum bahawa kelewatan ini telah menyebabkan para pembeli mengalami kesukaran. Namun, kami di PR1MA berusaha memastikan pelan mitigasi projek-projek sakit terutamanya yang terkesan akibat daripada penutupan sektor ekonomi ketika PKP berada dalam senarai keutamaan.

“Kami juga ingin memberi peringatan kepada kontraktor dan konsultan untuk menyiapkan projek-projek ini mengikut perjanjian yang telah dimeterai dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya selepas selesai program Jelajah #PR1MAKita.

Di Selangor, PR1MA mempunyai lima projek, manakala di Kuala Lumpur pula, PR1MA mempunyai tiga projek dan dua telah disiapkan di samping satu masih dalam pembinaan dengan matlamat untuk menyediakan kediaman yang selesa, berkualiti dan berpatutan kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di ibu kota dan kawasan sekitarnya.

Dua projek yang dikategorikan sebagai projek sakit iaitu Residensi Bandar Bukit Mahkota dan Residensi Brickfields telah diberikan perhatian khusus dan langkah untuk menambah pekerja di tapak telah dilaksanakan untuk mempercepatkan proses penyiapan projek.

Kedua-dua projek ini yang terletak di lokasi stategik telahpun mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segi jualan, Residensi Bandar Bukit Mahkota telah terjual sebanyak 77 peratus manakala Residensi Brickfields telah terjual sebanyak 95 peratus.

Sebelum ini, pihak pengurusan di bawah kepimpinan Pengerusi PR1MA, Dr Fathul Bari dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Mohd Nazri Md. Shariff telah melakukan lawatan ke projek sakit PR1MA di Utara Semenanjung, Melaka dan Negeri Sembilan.

Untuk sebarang maklumat mengenai PR1MA, sila layari laman sesawang PR1MA di www.pr1ma.my atau hubungi Pusat Panggilan PR1MA di 03-7628 9898 (tutup pada cuti umum di Negeri Selangor) atau e-emel kepada [email protected]. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.