Keadaan Banjir Di Pahang Pulih Sepenuhnya

KUANTAN, 12 Jan – Keadaan banjir di Pahang pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan Temai di daerah Pekan yang menempatkan 61 orang daripada 12 keluarga menamatkan operasi pada 10 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan gelombang pertama banjir di Pahang, yang bermula 17 Dis lepas, menyaksikan 67,333 orang daripada 18,243 keluarga ditempatkan di 432 PPS di sembilan daerah.

Gelombang kedua banjir pada 31 Dis lepas, yang bermula di daerah Raub, pula menyaksikan 3,293 orang daripada 911 keluarga ditempatkan di 72 PPS di lapan daerah.

Sekretariat itu turut memaklumkan sebanyak 21 kematian dilaporkan sepanjang gelombang pertama banjir dengan daerah Bentong merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 11 orang diikuti Temerloh (empat), Kuantan (tiga), Raub (dua) dan Pekan (satu).

Bencana banjir kali ini turut mengakibatkan beberapa laluan di dua lebuh raya utama Pahang dinaiki air iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 namun telah dibuka secara berperingkat kepada pengguna selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.