Bantuan Banjir & Drama: Banyak Lagi Kerja Pascabanjir… Jawab Demi Elak Fitnah

RAMAI rakyat Johor terutamanya mangsa banjir yang saya temui meminta saya tidak melayan tohmahan, kenyataan dan soalan yang dilemparkan oleh Yang Berhormat Syed Saddiq Ketua Parti Politik Muda.

Ini kerana, ada banyak lagi kerja pasca banjir yang perlu kita buat terutamanya di Segamat dan Muar.

Namun begitu, saya perlu menjawap bagi mengelak fitnah dan supaya anak-anak muda terutamanya di Muar dan Johor tidak terus termakan dengan sandiwara berterusan beliau untuk menutup kelemahannya sendiri.

Berikut adalah jawapan kepada soalan-soalan YB Syed Saddiq:-

1. SOALAN PERTAMA:- Apa salah kami nak bantu rakyat?
JAWAPAN: Tidak salah untuk mana-mana individu, NGO mahupun parti politik untuk membantu rakyat. Malah kerajaan negeri Johor amat mengalu-alukannya. Ribuan individu dan puluhan NGO telah tampil membantu, terima kasih kami ucapkan.
Kerajaan Negeri juga menghargai kerjasama semua individu dan NGO yang mengikut SOP yang telah ditetapkan dimana penyelarasan dibuat oleh pejabat daerah. Semuanya mengikut penyelarasan SOP terutama pada masa pandemik Covid19 ini.

2. SOALAN KEDUA: Kenapa sampai nak guna polis untuk soal siasat?
JAWAPAN: Tidak ada mana-mana pihak yang menggunakan atau mengeksploitasi Polis.
Polis hanya melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mendapatkan keterangan apabila ada laporan polis dibuat. Kalau ada laporan polis maka polis kenalah siasat – dan ini bukan prosedur baru!
Sebagai contoh, apabila YB buat laporan mengenai kehilangan duit RM250ribu dari rumah YB, maka pihak polis terpaksa siasat juga kerana ada laporan.
Tidak ada isu mereka dilayan seperti penjenayah, jangan fitnah PDRM. Tahniah kita ucapkan kepada PDRM kerana menjalankan tugas mereka.
Dalam isu banjir di Johor ini, YB Syed Saddiq tidak perlu disiasat kerana beliau tidak turun awal semasa insiden berlaku. Jangan mengkambing hitamkan polis hanya untuk menutup kelewatan sendiri.

3. SOALAN TAMBAHAN
(untuk pengetahuan umum):
Kami nak bantu, kenapa sekarang ada SOP yang menyusahkan?
JAWAPAN: SOP yang dikatakan menyusahkan oleh YB Syed Saddiq wujud semenjak banjir besar di Johor yang melanda pada tahun 2006. Kerajaan Negeri pada masa itu berpandangan bahawa perlu ada penyelarasan yang lebih baik antara agensi dan semua yang terlibat dengan banjir.
Tambahan itu, Kerajaan Pusat juga telah mengeluarkan tatacara Peraturan Tetap Operasi Pengurusan Bencana Banjir sejak tahun 2001.
Bagi tahun lepas dan tahun ini pula, SOP di Johor ditambah baik bagi membendung penularan wabak COVID-19, terutamanya mengambil kira ramai warga emas yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Untuk pengetahuan semua, NADMA juga telah mengeluarkan arahan untuk mengaktifkan PKOB pada 26 Disember 2021 (https://www.malaymail.com/…/nadma-tells-sabah…/2031241)
Tahniah diucapkan kepada semua Pegawai Daerah dan agensi-agensi yang terlibat dengan penyelarasan ini. Semua agensi dan NGO lain tiada masalah untuk membantu dengan mematuhi SOP.

KESIMPULAN:-
SOP, tatacara serta peraturan dan undang-undang diwujudkan supaya negeri Johor dapat bertindak dengan lebih cekap, efektif dan teratur. Saya percaya rakyat Johor yang terkesan dengan banjir dan mereka yang benar-benar terlibat dengan usaha membantu semasa bencana ini melanda juga faham.

Saya yakin orang Johor boleh maafkan YB Syed Saddiq kerana turun lambat ke Johor namun YB tidak perlulah terus mengeksploitasi dan memanipulasi bencana banjir di Johor ini.

Orang Johor tahu tatacara, adab, adat dan sejarah Johor. Mereka celik mata dan celik akal – justeru arif, insya-Allah, untuk mengenal yang mana sandiwara dan yang mana tanggungjawab dan keikhlasan.

YB Syed Saddiq selalu kata “kami nak bantu rakyat”, ada rakyat yang ingin tahu kenapa Johor banjir sejak 31 Disember 2021 tetapi YB Syed Saddiq hanya turun membantu pada 7 Januari 2022? Muar pun banjir bermula 3 Januari tetapi YB Syed Saddiq hanya datang 4 hari kemudian. Kalau betul nak bantu rakyat kenapa YB tak datang hari pertama banjir melanda? Penyelarasan SOP hanya mengambil masa 1 jam sahaja dan bukannya 4 hari YB.

Sekian. Harap saya menjawap segala persoalan.

Ps:- Drama queen and ignorance is a bad combo Bro.

ONN HAFIZ GHAZI

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.