Tommy, Rakyat Mahu Tahu Adakah Berlaku Campur Tangan Politik Dalam Institusi Peguam Negara Era Kerajaan 22 Bulan

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Sebenarnya tiada siapa mahu mempertikaikan atau mempersoalkan tentang jawatan Peguam Negara di bawah Perlembagaan dan juga berkenaan Perkara 145(3) mengenai kuasa budi bicara.

Tegas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, apa yang rakyat mahu tahu adakah mungkin telah berlaku campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Justeru, Tommy Thomas sepatutnya bersikap lebih ‘gentleman’ dan berani mengambil tanggungjawab terhadap kandungan buku memoirnya sendiri.

“Membantu supaya kebenaran terungkai kerana sebagai bekas Peguam Negara beliau sepatutnya lebih memahami ‘justice’ adalah tentang kebenaran,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu catatan di Facebook.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas mengenai bekas Peguam Negara semasa era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, Tan Sri Tommy Thomas yang dilaporkan enggan memberi kerjasama kepada pasukan petugas khas yang ditubuhkan kerajaan baru.

“Pasukan petugas khas bagi menyiasat pendedahan yang dibuat sama ada.secara tidak sengaja atau secara sengaja dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

“Pendedahan yang menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan semasa negara di bawah pentadbiran kerajaan 22 bulan,” katanya lagi.

Begitu juga tambah Ahmad Zahid, seperti yang pernah beliau timbulkan negara memerlukan jawapan kepada segala persoalan di sebalik pendedahan menerusi buku tersebut kerana ia melibatkan maruah serta keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Persoalan yang terungkai malah berpotensi menjawab kepada lebih banyak persoalan kepada apa yang berlaku selepas tarikh 9 Mei 2018,” ujar Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Ulas Ahmad Zahid lagi, antara alasan Tommy Thomas enggan memberi kerjasama kerana jawatan Peguam Negara di bawah Perlembagaan dan pasukan petugas itu boleh menjejaskan kebebasan Pejabat Peguam Negara.

“Beliau turut memberi alasan Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya diberi kuasa mengikut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan,” katanya. – UMNO ONLINE