Kerajaan Serius Tangani Isu Populasi Harimau Malaya – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Kerajaan serius menangani isu populasi Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni di hutan negara yang kini berjumlah kurang daripada 150 ekor.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika tindakan segera tidak dilakukan, Malaysia berhadapan dengan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

“Lebih membimbangkan, spesies ikonik negara itu akan hilang buat selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) di Putarajaya, hari ini.

Mesyuarat dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri mewakili Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perak.

Di peringkat Persekutuan, ia dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.

Ismail Sabri berkata kepupusan Harimau Malaya antara lain disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram, selain penularan virus distemper kanin.

Mengenai mesyuarat hari ini, Perdana Menteri berkata MyTTF bersetuju dengan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya untuk tempoh 10 tahun bermula tahun ini, melalui enam pendekatan termasuk rondaan penguatkuasaan dan pengawalan bersama antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia serta komuniti Orang Asli.

Selain itu, beliau berkata MyTTF juga setuju dengan pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan, dan menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram.

“Tindakan lain yang dipersetujui adalah meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040, selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat.

“Memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Perhilitan, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya),” katanya.

Menurut Ismail Sabri, MyTTF juga bersetuju memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya, selain mengadakan kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik.

Perdana Menteri berkata antara usaha yang telah dilakukan bagi melindungi haiwan itu termasuk, meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang diluluskan oleh Parlimen pada 21 Dis lalu, untuk meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

Melalui pindaan tersebut, denda maksimum ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun, supaya dapat mencegah dan memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar.

“Selain itu, terdapat peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar secara dalam talian,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.