PM Serah Bantuan Kepada Mangsa Banjir Di Pitas

PITAS, 8 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyerahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 dan bakul makanan kepada ketua keluarga mangsa banjir daerah ini di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Pitas di sini.

Beliau yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, tiba pada 2.30 petang, menyampaikan bantuan kepada 35 keluarga serta bertanya khabar kepada mangsa banjir yang hadir di dewan berkenaan.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong dan beberapa pemimpin masyarakat di daerah Pitas.

Seramai 319 mangsa banjir dari 129 keluarga di Pitas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara apabila rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak 31 Dis 2021 hingga 2 Jan 2022, dan semua mereka akan diberi bantuan itu.

Rata-rata mangsa banjir yang ditemui Bernama selepas majlis itu menzahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turun padang ke daerah Pitas.

Majulin Angai, 42, dari Kampung Mangbusu berkata paras air banjir yang melanda kampung mereka baru-baru ini sangat tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini sehingga menyebabkan banyak peralatan rumah musnah.

“Saya pasrah dengan kejadian itu dan hari ini saya gembira dan amat bersyukur kerana bukan senang Perdana Menteri untuk datang sendiri ke Pitas untuk sampaikan bantuan.

“Jadi itu saya amat kagum dengan keprihatinan Perdana Menteri kepada rakyat tidak kira di mana mereka berada di pelusuk Malaysia,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Kristina Gidion, 52, dari Kampung Kabatasan Laut, berkata beliau sangat teruja dengan kedatangan Perdana Menteri ke Pitas.

“Perasaan sangat teruja kerana Perdana Menteri sendiri turun ke Pitas… kami dapat merasakan kekeluargaan satu Malaysia yang diuar-uarkan… ia benar-benar wujud apabila Perdana Menteri sendiri melihat kami sebagai mangsa banjir di sini,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar Pitas mendapati keadaan banjir telah pulih dengan semua mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.