Rakyat Malaysia Perlu Jaminan Keselamatan… Laksanakan Dasar Jelas, Tindakan Nyata

Pelajaran paling besar dari 2021 ialah Malaysia sedang menyaksikan peningkatan ketara ancaman terhadap keselamatan insan.

Penyebab utama ialah pandemik COVID-19 dan perubahan cuaca. Kedua-duanya adalah ancaman keselamatan bukan tradisional, yang telah menjadi ancaman utama kepada keselamatan negara.

Bukan sahaja jumlah yang terkorban sangat ketara, kedua-duanya juga menjerumuskan jutaan rakyat ke tahap lebih miskin kerana kehilangan pekerjaan, tertutupnya peluang pendidikan dan kesukaran untuk membangun perniagaan dan keusahawanan.

Rakyat yang terjejas merasa tidak lagi selamat. Kehilangan punca pendapatan, harta benda, kemusnahan prasarana serta pergerakan yang terbatas kerana protokol kesihatan yang ketat, semuanya adalah ancaman nyata kepada keselamatan insan.

Semua ini menuntut perubahan paradigma, dalam kita mengurus dasar keselamatan negara.

Modernisasi aset keselamatan dan pertahanan sahaja, tidak akan mencukupi untuk menangani kedua-dua ancaman tersebut. Apalagi sekadar memperbaiki kemudahan prasarana yang terjejas teruk kerana banjir yang luar biasa.

Malaysia memerlukan tindakan aggresif menangani punca perubahan cuaca. Fenomena kemarau yang berpanjangan, krisis air yang meruncing, musim hujan yang semakin tidak menentu, banjir luar biasa serta pencemaran pada skala mega yang akan menjadi suatu kelaziman baru jika tiada tindakan radikal dilakukan dalam dasar alam sekitar kita.

Menjadikan negara neutral karbon menjelang 2050 adalah sasaran yang tidak realistik, jika tiada perubahan radikal dalam cara kita mengurus hutan, merancang pembangunan, mengurus sungai dan yang yang paling penting, menukar gaya hidup rakyat.

Sudah sampai masanya Malaysia mengkaji semula dasar penebangan dan pengurusan hutan, menghentikan penggunaan plastik sekali guna, mewajibkan semua pembangunan baru beralih kepada teknologi tenaga cekap sepenuhnya , juga mensasarkan penggunaan kenderaan eletrik sepenuhnya menjelang 2035.

Dasar kelestarian kita memerlukan sesuatu yang benar-benar ‘menggoncang dan menggegarkan’. Sesuatu yang benar-benar luar biasa dan berdampak berganda. Bukan sesuatu yang ‘incremental’ dan reaktif.

Memberitahu dunia bahawa Malaysia tidak terkesan dengan perubahan cuaca adalah kenyataan penafian yang sangat dikesali, tidak benar dan tidak jujur.

Rakyat Malaysia memerlukan jaminan keselamatan insan, melalui dasar yang jelas dan tindakan nyata. Kerajaan yang tidak boleh memberi jaminan keselamatan insan, adalah Kerajaan yang tidak mengerti kehendak semasa dan keperluan masa depan rakyatnya.

Dato Seri Mohamad Hasan

Timbalan Presiden UMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.