Banjir: KPT Agih 2,000 Kotak Bantuan Di Segamat, Tangkak

JOHOR BAHRU, 7 Jan – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengagihkan sebanyak 2,000 kotak bantuan barangan keperluan asas bagi meringankan bebanan mangsa banjir di Segamat dan Tangkak.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kotak bantuan itu merupakan sumbangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Misi bantuan hari ini merupakan kesinambungan daripada usaha-usaha KPT untuk membantu mereka yang terjejas sejak bencana banjir melanda negara pertengahan Disember lepas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata sebagai respons strategik, misi berkenaan telah digerakkan bermula 19 Dis lepas seiring pengaktifan Bilik Gerakan Banjir KPT yang menyelaras penyaluran bantuan kepada warga institusi pendidikan tinggi (IPT) dan masyarakat umum.

Katanya setakat kini, seramai 23,745 sukarelawan telah digerakkan meliputi 4,610 orang daripada KPT dan agensi serta 19,135 orang dari universiti awam, politeknik dan kolej komuniti. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.