Terlibat Bantu Mangsa Banjir Ibarat Wira Negara… Terima Kasih Semua – Rais

PAYA RUMPUT, 6 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dalam membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan berkenaan yang memperlihatkan semangat Keluarga Malaysia.

Kata beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Tangga Batu, begitu juga dengan pelbagai bentuk bentuan yang dihulurkan dalam usaha membantu meringankan beban mangsa-mangsa terlibat dengan banjir di beberapa kawasan sebelum ini.

“Pertamanya, jutaan terima kasih diucapkan buat semua pihak yang sudi menyumbang dan menghulurkan pelbagai bentuk bantuan. Inilah semangat Keluarga Malaysia yang sentiasa bersatu hati saat susah dan senang.

“Tanpa mengira fahaman politik dan agama, latar belakang kaum dan budaya, sama ada parti politik atau NGO, individu persendirian atau pertubuhan, semuanya telah berpadu tenaga untuk menolong mangsa-mangsa banjir,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi pelbagai bantuan lain pasca banjir turut dilaksanakan kerana mangsa terlibat sudah tentu bukan sahaja trauma dengan musibah yang melanda malah memerlukan sokongan pelbagai pihak untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Seikhlasnya, saya berdoa agar budi baik mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dibalas sebaik-baik ganjaran di sisi Allah SWT. Tidak dilupakan penghargaan buat frontliners, Team RY, agensi swasta dan kerajaan yang bertungkus-lumus sejak dari awal menyelamatkan semua mangsa. Ketahuilah, anda semua adalah wira negara.

“Akhir kalam, buat saudara saudari yang ditimpa ujian Allah SWT kali ini khususnya di DUN Paya Rumput, saya berharap terus tabah dan kuat semangat. Yakinlah pasti ada hikmah dan ganjaran mulia di masa hadapan buat kalian. Insya-Allah, pihak saya akan sentiasa bersedia untuk membantu sebaiknya. Allahu Musta’an,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@umnoonline