Azhari Harapkan Bantuan Pasca Banjir Dapat Dilaksanakan Secara Teratur

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata di sebalik desakan rakyat agar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan pengeluarannya untuk membantu kewangan rakyat pasca banjir, bantuan kerajaan untuk mangsa banjir yang turut diumumkan sebelum ini dapat dibuat secara teratur.

Kata beliau bantuan tersebut sepertimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh mencecah sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah manakala bagi mangsa yang rumahnya musnah dalam banjir, bantuan akan lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

Selain itu, katanya bantuan itu juga termasuk baucar tunai RM500 untuk pembelian peralatan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan yang rosak dan akan dilaksanakan mulai 7 Januari.

“Saya berharap bantuan untuk mangsa banjir tersebut dibuat secara teratur dan cepat kerana ramai yang boleh dianggap hilang segalanya. Apa yang diperlukan pada saat ini semua pihak terkesan akibat banjir segera memohon dana tersebut menerusi ketua komuniti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, pelbagai bantuan lain lagi yang boleh dituntut antaranya adalah bayaran perkhidmatan tunda dan pembaikan kereta percuma oleh Proton dan Perodua, selain diskaun 50 peratus untuk alat ganti, manakala syarikat lain turut menawarkan perkhidmatan tunda kereta percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus untuk alat ganti dan bayaran pembaikan di pusat servis berdaftar.

“Begitu juga dengan inisiatif lain termasuk baucar RM1,000 untuk pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan persendirian yang mengalami kerosakan keseluruhan.

“Ada juga bantuan wang tunai sehingga RM5,000 disediakan untuk membaiki rumah dan bagi setiap mangsa yang rumahnya musnah sama sekali, kerajaan akan membantu menampung kos sehingga RM56,000 untuk membina rumah baharu,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.