ATM Diarah Sentiasa Siap Siaga Hadapi Gelombang Banjir – Hishammuddin

KUALA TERENGGANU, 6 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya di negeri-negeri dilanda banjir, diarahkan agar sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku gelombang banjir seterusnya.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun berada dalam keadaan selesa berikutan beberapa negeri sudah semakin pulih daripada bencana banjir, komitmen ATM tidak akan berganjak.

“Setakat ini kerjasama ATM dan MINDEF (Kementerian Pertahanan) dengan agensi serta jabatan-jabatan lain termasuk kerajaan negeri berada pada tahap yang membanggakan.

“Biar pun (banjir) hampir pulih, komitmen ATM kita akan terus bekerjasama rapat dengan setiap agensi… Tumpuan kita sekarang, pasca banjir (lakukan) kerja pembersihan, bantu kerja baik pulih struktur jalan, rumah dan jambatan,” katanya pada sidang media Ops Murni di Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) (Para), Kem Seri Pantai, Seberang Takir dekat sini, hari ini.

Beliau sebelum itu mendengar taklimat Ops Murni ATM di Terengganu dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu bersama Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hishammuddin berkata selain membantu mengeluarkan mangsa banjir dan melakukan kerja-kerja baik pulih pasca banjir, pihak ATM juga membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan COVID-19 bagi mengekang penularan wabak itu susulan kemunculan varian baharu Omicron.

Beliau berkata tindakan itu sangat penting bagi memastikan penularan COVID-19 khususnya membabitkan varian baharu ini tidak akan menjadi ‘tidak terkawal’ dalam musim bencana ini.

Sementara itu katanya koordinasi di antara sumber manusia dan pergerakan aset ATM dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Daerah di empat negeri yang dilawati beliau iaitu Kelantan, Johor, Pahang dan Terengganu, dilihat sangat baik dan berkesan.

Hishammuddin turut memuji kepimpinan serta koordinasi antara peringkat negeri dan daerah di Terengganu yang dilihat berada dalam keadaan cukup bersedia, dan menguruskan banjir dengan baik.

“Di Selangor pula saya akan turun dan bincang dengan kepimpinan negeri… apa yg mereka lalui bukan perkara biasa dalam konteks banjir, kerana banjir di bandar berbeza dengan air yang naik di kawasan lain.

“Kita akan kaji, belajar daripada pengalaman… Macam Terengganu dah bertahun ada pengalaman (banjir) seperti ini, yang penting jangan cari kesalahan, dekati rakyat dan beri pembelaan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.