Mangsa Banjir Di Empat Negeri Menurun, Terengganu Pulih Sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Jumlah mangsa banjir di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun setakat tengah hari ini berbanding pagi tadi, manakala di Terengganu banjir pulih sepenuhnya dengan penutupan kesemua PPS di negeri itu.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat sedikit manakala di Selangor jumlahnya masih kekal seperti pagi tadi.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,117 orang daripada 285 keluarga pada pukul 12 tengah hari ini berbanding 1,256 mangsa daripada 324 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 1,286 individu membabitkan 337 keluarga dengan 15 PPS dibuka setakat tengah hari ini berbanding 1,488 individu (396 keluarga) pagi tadi.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit penurunan tengah hari ini apabila Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan 1,822 orang ditempatkan di 31 pusat pemindahan berbanding 1,846 individu di 32 PPS pagi tadi.

Kesemua mangsa melibatkan 559 keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan di Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin manakala PPS di daerah Raub telah ditutup tengah hari ini.

Selain itu, beberapa jalan masih ditutup antaranya Jalan Triang 1 di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan) dan Jalan Serengkam (Maran).

Di SABAH, jumlah mangsa banjir menurun sedikit dengan 3,347 mangsa banjir daripada 1,349 keluarga tengah hari ini berbanding 3,385 orang daripada 1,329 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa banjir ditempatkan di 29 PPS di lima daerah terjejas banjir terletak di utara dan pantai timur di negeri itu.

Cuaca tengah hari ini mendung di kebanyakan kawasan utara dan pantai timur, serta di kawasan pantai barat Sabah.

Di TERENGGANU, banjir gelombang ketiga yang bermula pada 30 Dis lepas pulih sepenuhnya hari ini apabila dua PPS terakhir di Kemaman ditutup secara rasmi pada 12 tengah hari.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan PPS pertama ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga pada 8.30 pagi tadi diikuti PPS terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor.

Pemantauan akan tetap dilakukan sepanjang Monsun Timur Laut yang berakhir pada Mac ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di tujuh daerah meningkat sedikit kepada 5,486 orang daripada 1,456 keluarga setakat 12 tengah hari ini, berbanding 5,399 orang daripada 1,430 keluarga pagi tadi, dengan 80 PPS masih beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata ia berikutan terdapat penambahan jumlah mangsa di daerah Segamat dan Muar.

Sementara itu, beliau berkata cuaca di kesemua daerah adalah cerah setakat tengah hari ini meskipun tiga sungai masih mencatatkan aras bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Awat serta Buloh Kasap dan Sungai Kesang di Kampung Seri Maamor dekat Tangkak.

Di SELANGOR, Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal seramai 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir atau hujan lebat bakal berlaku di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang setakat 10 pagi tadi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.