UMNO Teruskan Misi Bantuan Banjir Ke Tampin, Segamat Dan Labis

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan bersama sukarelawan Ibu Pejabat UMNO hari ini meneruskan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri bahagian Selatan negara.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dan sukarelawan akan menuju ke Tampin, Negeri Sembilan dan kemudiannya ke Johor di Segamat dan Labis.

“Moga Allah memberkati segala usaha semua kita,” ujarnya ringkas kepada UMNO Online selepas mengetuai bacaan doa sebelum memulakan perjalanan pagi ini.

Tiga bahagian tersebut merupakan bahagian yang ke-19, ke-20 dan ke-21 yang disinggahi bagi menyantuni mangsa-mangsa banjir.

Sebelum ini, mewakili Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Misi Sukarelawan Bantuan Banjir Ibu Pejabat UMNO telah memberikan bantuan dan sumbangan kepada bahagian-bahagian yang terjejas dengan banjir di negeri Selangor antaranya seperti di Shah Alam, Kota Raja, Klang, Sepang, Ampang, Hulu Langat, Bangi, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor dan Selayang.

Begitu juga di negeri Pahang seperti di Maran, Bentong, Temerloh, Jerantut dan Kuala Krau.

Manakala di Negeri Sembilan di Port Dickson dan Melaka di Masjid Tanah.

Pada 21 Dis tahun lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang turut merasa terkesan dengan musibah banjir yang melanda negara sekarang ini turun padang bagi menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada mangsa banjir di Sepang, Shah Alam dan Petaling Jaya.

Untuk rekod, pada pertengahan bulan Dis tahun lalu negara dikejutkan dengan banjir besar melanda di beberapa negeri terutama di Pahang dan Lembah Klang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.