Banjir: Peruntukan RM5 Juta Naik Taraf Ban Di Kampung Spang Loi – PM

SEGAMAT, 4 Jan – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk menaik taraf ban di Kampung Spang Loi, dekat sini, bagi menangani isu banjir di kawasan ini dan sekitarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ban itu perlu segara dinaik taraf bagi mengelak kejadian banjir di daerah ini pada masa depan.

“Hari ini saya mendengar pembentangan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memaklumkan kalau kita nak mengelakkan banjir yang berlaku di Segamat ini, memerlukan kita membina (menaik taraf) ban supaya dapat dinaikkan ketinggian.

“Keperluan adalah segera, jadi hari ini saya meluluskan RM5 juta untuk bina ban supaya dapat kita elakkan dan kurangkan banjir di Segamat,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Tandong, Buloh Kasap, di sini hari ini.

Menurut JPS Johor, pembinaan ban di Kampung Spang Loi itu melibatkan kerja menaik taraf ban sedia ada sepanjang 1.5 kilometer dan meninggikan aras ban daripada 5.2 meter kepada 6.2 meter bagi menampung air banjir yang meningkat berbanding semasa direka bentuk sebelum ini.

Pada Ahad lepas, ban yang siap dibina pada 2019 itu, pecah sehingga menyebabkan banjir di Kampung Spang Loi dan kampung-kampung sekitar ekoran limpahan air Sungai Muar.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan wang ihsan sebanyak RM1,500 iaitu RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada kerajaan negeri kepada 26 ketua isi rumah yang ditempatkan di PPS berkenaan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.