Banjir: Perlis Perlu Ambil Iktibar Rancang Pembangunan Negeri

KANGAR, 4 Jan – Perlis perlu mengambil iktibar daripada banjir besar yang berlaku beberapa negeri ketika ini dalam merancang pembangunan bagi mengurangkan risiko berlaku bencana itu.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata fenomena banjir setiap tahun tidak dapat dielakkan namun risiko dapat dikurangkan jika pengurusan alam sekitar dan pelaksanaan pembangunan khususnya di tempat berisiko dilakukan dengan lebih teliti.

“Antara punca banjir besar ialah disebabkan kadang-kadang kita mungkin terlepas pandang dalam mengambil kira aspek alam sekitar ketika merancang pembangunan.

“Sebagai contoh, laluan air semula jadi ditutup atau terganggu menyebabkan berlaku banjir,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 bersama Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di Dewan 2020 di sini hari ini.

Beliau berkata sistem perparitan yang dibina tidak mengikut kesesuaian keadaan tanah juga merupakan antara punca banjir berlaku.

“Kadang-Kadang parit dibina lebih tinggi daripada jalan raya dan kampung menyebabkan kawasan perkampungan menjadi ‘kolam’ apabila air bertakung.

“Ini adalah sebahagian daripada punca terjadinya banjir dan kita di Perlis mengambil kira faktor penyebab ini dalam merancang pembangunan di negeri ini,” katanya. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.