Paras Sungai Tahap Bahaya, Penduduk Di Lima Negeri Diminta Waspada

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Penduduk di lima negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan paras air di beberapa sungai di negeri-negeri tersebut masih di tahap bahaya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan di Pahang, paras air Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang di Bera, Stesen Paya Gintong di Jerantut dan Sungai Pahang, Kuala Krau di Temerloh berada pada tahap bahaya dengan trend menaik.

Sungai lain iaitu Sungai Pukin di Rompin, Stesen Jambatan Chegar Perah di Lipis dan Sungai Luit, Kampung Subuh di Maran juga masih berada tahap bahaya namun dengan trend menurun.

Menurut JPS, di Selangor, Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat, juga berada pada tahap bahaya tetapi dengan trend menurun.

Di Johor, dua sungai di Segamat iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah dan Sungai Segamat di Bandar Segamat mencatat tahap bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak berada tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan.

JPS memaklumkan di Negeri Sembilan, Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol dan Sungai Muar di Kampung Berembang, Kuala Pilah berada dalam trend menurun walaupun masih tahap bahaya.

Di Melaka, Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah mencatat tahap bahaya tetapi dengan trend menurun, sungai sama di Batu Hampar, Melaka Tengah mencatat tahap bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin pula mencatat tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan.

Jabatan Mineral dan Geosains turut memaklumkan terdapat penambahan kawasan tanah runtuh hari ini melibatkan tujuh kawasan di Sabah, enam di Negeri Sembilan dan satu di Johor menjadikan jumlah kumulatif setakat hari ini sebanyak 243 kejadian di sembilan negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Terengganu dan Sarawak.

Kawasan baharu berlaku tanah runtuh di Sabah ialah Kampung Sagaliud Seberang di Jalan Sagaliud dan Kampung Warisan di Jalan Bukit Garam; Jalan Bongkud, Jalan Stadium, Jalan Tambunan-Ranau dan Jalan Timbau-Melinsau, Ranau serta Jalan Nangoh Paitan di Kanibongan.

Di Negeri Sembilan, tanah runtuh berlaku di Jalan Seremban-Port Dickson, Jalan Karak-Tampin dan Jalan Talang Ulu, Kampung Lubuk Kadam, Tanjung Ipoh serta tiga kawasan perumahan di Taman Desa Permai dan Kampung Jeram di Tampin dan Gemas.

Kawasan berlaku tanah runtuh di Johor pula ialah Taman Bukit Pelali di Pengerang yang menjejaskan kawasan perumahan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.