Ops Murni Johor: 196 Pegawai, Anggota ATM Bantu Operasi Banjir

SEGAMAT, 3 Jan – Seramai 196 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi membantu operasi banjir dalam Ops Murni Johor, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kesemua pegawai dan anggota itu telah diatur gerak ke enam daerah tumpuan banjir di negeri ini iaitu Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang dan Mersing bersama 31 aset termasuk bot, enjin bot dan trak satu hingga tujuh tan.

“Keutamaan ATM dalam persiapan adalah kaedah bagaimana untuk memindahkan mangsa banjir sekiranya ia berlaku dan ini merupakan keutamaan kami (menyelamatkan mangsa banjir).

“Selepas itu, baru kami memikirkan di kawasan pemindahan serta kerjasama dengan agensi dan kementerian yang boleh membantu mengedarkan keperluan,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat pengurusan banjir di Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (4 RAD), Kem Segamat, Batu Anam, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Hishammuddin turut memuji kepimpinan dan koordinasi antara peringkat negeri dan daerah di Johor yang dilihat berada dalam keadaan cukup selesa ketika menguruskan banjir.

Beliau berkata ATM turut meningkatkan kesiapsiagaan dengan menambah seramai 1,183 pegawai dan anggota bersama 190 aset untuk diatur gerak ke lokasi banjir di seluruh negara.

Sementara itu, Hasni berkata kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kewangan RM500 kepada penduduk yang terjejas banjir di negeri ini dan perkara itu akan dibincangkan bersama barisan exco kerajaan negeri dalam mesyuarat pada Rabu ini.

Beliau berkata kerajaan negeri turut akan menjadi pemudah cara bagi memastikan bantuan mangsa banjir daripada pelbagai agensi akan sampai tepat pada masanya.

Terdahulu, Hishammuddin dan Hasni melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tambang di sini dan menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di PPS berkenaan.

Setakat ini, 54 kampung, tiga taman perumahan dan kawasan sekitarnya terjejas banjir dengan 47 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini bagi menempatkan 3,347 mangsa. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.