Lebih 15,000 Mangsa Banjir Di PPS Di Tujuh Negeri

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Lebih 15,000 mangsa banjir masih berada di 188 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Sabah dan Terengganu, malam ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 4,737 orang setakat 8 malam ini berbanding 4,278 orang petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan dalam kenyatan hari ini berkata setakat 8 malam ini, tujuh daerah di negeri ini masih terjejas akibat banjir berbanding lapan daerah petang tadi, berikutan penutupan PPS Dewan Raya Sungai Tiram, Johor Bahru pada 7 malam.

“Terdapat 71 PPS masih beroperasi di tujuh daerah dengan Segamat terus mencatatkan mangsa banjir tertinggi iaitu 3,554 orang diikuti Mersing (476), Kota Tinggi (210), Tangkak (297), Muar (52) dan Batu Pahat (77) sementara di Kluang pula jumlah mangsa banjir kekal 71 orang,” katanya.

Di PAHANG, bilangan mangsa banjir sedikit menurun malam ini apabila Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan seramai 2,438 orang berada di 46 PPS, berbanding 2,572 orang di 55 PPS, petang tadi.

Kesemua mangsa terdiri daripada 713 keluarga itu ditempatkan di PPS di sembilan daerah iaitu Temerloh, Kuantan, Maran, Rompin, Jerantut, Lipis, Raub, Bera dan Pekan.

Sebanyak 11 jalan ditutup setakat 8 malam ini, antaranya Jalan Air Hitam di Kuantan, Jalan Kampung Wau-Kertau (Maran), Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut), Jalan Temerloh-Jerantut (Temerloh), Jalan Ulu Dong (Raub) dan Jalan Southern Loop (Bentong).

Selain itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras air di tiga stesen telah melepasi tahap bahaya, namun dengan trend menurun iaitu Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini di Pekan, Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang (Bera) dan Paya Gintong (Jerantut).

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir sedikit menurun kepada 2,591 orang daripada 667 keluarga pada 8 malam ini berbanding 2,621 orang daripada 674 keluarga pada 4 petang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 10 kawasan di Jasin.

“Seramai 1,007 mangsa daripada 264 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Alor Gajah, 1,391 mangsa daripada 358 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 193 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan di empat PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata hujan lebat di luar Melaka, terutama di kawasan hulu sungai yang mengalir ke negeri ini, turut menyumbang kepada kejadian banjir di Melaka sejak Sabtu lepas,

“Sungai Lubok China dan Sungai Melaka yang menerima hujan lebat di bahagian hulu di Negeri Sembilan, mengakibatkan air sungai melimpah di kawasan rendah, justeru menjejaskan kawasan sekitar Lubok China selain daerah Melaka Tengah membabitkan Krubong, Taman Merdeka serta Peringgit.

“Di Jasin pula, Sungai Kesang dari Tangkak, Johor yang melimpah, telah menjejaskan beberapa tempat di Sungai Rambai, Semujuk dan Lanchang,” katanya kepada Bernama.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 1,967 individu membabitkan 540 keluarga dengan 21 PPS dibuka setakat 8 malam ini berbanding 2,073 individu daripada 568 keluarga, petang tadi.

Di SELANGOR, aplikasi Bencana JKM merekodkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di daerah Kuala Langat kekal 40 individu iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dengan 25 mangsa dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat yang berada di paras bahaya petang tadi, kini di tahap waspada dengan ketinggian air 4.12 meter setakat 8 malam.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir kekal 3,329 orang malam ini dengan 26 PPS masih dibuka di enam daerah selepas dilanda banjir akibat hujan yang berterusan.

Daerah terlibat ialah Kota Marudu yang mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai berada di PPS iaitu seramai 2,766 orang di 14 PPS, diikuti Pitas (234 orang di empat PPS), Telupid (159 orang di enam PPS), Paitan (83 orang di tiga PPS), Sandakan (46 orang di satu PPS) dan Beluran (41 orang di dua PPS).

Di TERENGGANU, banjir kembali melanda negeri itu malam ini selepas satu PPS dibuka di Daerah Kemaman pukul 9 malam ini, menempatkan 10 orang daripada dua keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga itu dibuka, setelah rumah mangsa dilanda banjir berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku malam ini.

Pemantauan sedang dilakukan untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang terlibat dan mereka akan diarah berpindah ke PPS sekiranya perlu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.