JBPM Diminta Beri Keutamaan Kepada Negeri, Daerah Terputus Bekalan – Reezal

SEGAMAT, 3 Jan – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diminta memberi keutamaan kepada negeri dan daerah yang terputus bekalan kerana laluan ditenggelami air.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ini kerana banyak laluan yang terjejas teruk dan terdapat mangsa banjir tidak menerima bantuan bekalan asas.

“Sebagai contoh, hari ini saya telah pergi ke Kampung Lubok Lanjut, Batu Anam untuk menyampaikan bantuan dan mendapati kawasan itu terputus kerana laluannya ditenggelami air yang tidak diketahui kedalamannya.

“Saya melihat ia seakan-akan sebuah pulau yang besar dan untuk ke kampung berkenaan agak mencabar kerana arus deras. Apabila saya melihat peta, saya berada di tengah-tengah jalan raya yang tenggelam,” katanya dalam sidang media di Batu Anam di sini, hari ini.

Beliau berkata di kampung itu seramai 96 keluarga terjejas dan mendapati fenomena air pasang masih berlaku di kawasan berkenaan.

Selain itu, Reezal Merican berkata setakat ini tujuh daerah di Johor yang terjejas banjir antaranya di Segamat, Tangkak, Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan Batu Pahat.

“Saya melihat ada tempat-tempat tertentu status paras air masih menaik melibatkan Sungai Muar dan berkemungkinan air yang berada di Sungai Gemas akan mengalir ke kawasan Segamat menjadikan paras air di kawasan itu tidak menurun,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya akan mengeluarkan video berbentuk pendidikan bagi meningkatkan kesedaran bahaya meredah banjir tanpa pengawasan pihak berkuasa.

“Sebelum ini, saya dapati masih ada lagi rakyat yang terjejas banjir meredah banjir dengan kereta atau bersendirian tanpa membuat sebarang penilaian risiko.

“Tindakan meredah kenderaan ketika banjir bukan sahaja boleh menterbalikkan kereta kerana arus kuat malah membahayakan nyawa dalam sekelip mata,” katanya.

Oleh demikian, video berkenaan akan dikeluarkan kementeriannya dalam tempoh terdekat sebagai langkah mendidik masyarakat.

“Sekiranya mangsa ingin meredah banjir mereka perlu berhubung dengan pihak berkuasa terlebih dahulu dan tidak mengambil risiko sendiri. Mereka mesti rujuk dengan bomba yang bertugas dengan memerhatikan aliran air sama ada deras atau sebaliknya,” kata beliau.

Selain itu, Reezal Merican berkata mangsa banjir diingatkan supaya tidak mudah mempercayai sebarang penyebaran berita palsu dalam tempoh bencana ini.

Beliau berkata penyebaran berita palsu bukan sahaja mewujudkan suasana tidak tenteram malah menimbulkan kegusaran awam dalam kalangan mangsa banjir.

Terdahulu, tinjauan Bernama dari udara di sekitar Gemas dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta Buluh Kasap, Segamat di Johor mendapati rata-rata kawasan masih terjejas teruk malah terdapat kawasan perumahan ditenggelami air.

Selain itu, kawasan berkenaan seolah-olah seperti beberapa ‘pulau besar’ sedangkan ia daratan dan laluan yang ditenggelami air.

Hari ini, Reezal Merican turut melawat dua pusat pemindahan sementara di Kampung Pudu dan Kampung Lubuk Lanjot, Segamat, selain memberikan bantuan bekalan asas kepada mangsa banjir yang terjejas di kedua-kedua kampung berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.