Banjir: War Room Khas Ditubuh Salur Bantuan Lebih Cepat Dan Sistematik – Satim

PUCHONG, 3 Jan – UMNO Bahagian Puchong menubuhkan war room khas bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dengan lebih bersistematik dan pantas.

Ketuanya, Datuk Mohamed Satim Diman berkata ianya juga bertujuan bagi memastikan tiada dalam kalangan penduduk yang rumah mereka dilanda banjir tercicir daripada mendapat sumbangan tersebut.

“Kita ada menubuhkan war room yang berpusat di Balai Raya Kampung Tengah dan Jalan Jurutera di rumah setiausaha bahagian… mana-mana bantuan kita letak di situ dan salurkan kepada semua pusat daerah mengundi.

“Kita juga menubuhkan sebuah pusat bagi membantu mereka yang terkesan yang tidak tinggal di pemindahan sementara (PPS) untuk isi borang bantuan oleh kerajaan pusat, negeri dan zakat.

“Di balai raya ini sudah 400 lebih orang sudah mendaftar itulah peranan kita. Alhamdulillah ianya dilaksanakan dengan baik memang tradisi kita dengan apa sahaja rintangan dan cabaran ini yang kita buat malah dengan sekarang ini dengan keinsafan yang berlaku di negeri ini,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau juga turut memaklumkan bahawa di kawasan sekitar Puchong sudah lama tidak mengalami kejadian bencana banjir seburuk ini.

Namun begitu, dengan kehadiran daripada pemimpin tertinggi UMNO dalam memberi sumbangan serta melawat ke rumah mangsa banjir sedikit sebanyak membawa suntikan motivasi untuk mereka.

“Di Puchong ini sudah lama tidak berlaku banjir sejak 1980 terutama di kawasan kampung tapi kali ini pada 19 Dis yang tidak disangka air begitu deras masuk ke kawasan rumah ada di antaranya sampai ke paras bumbung di kawasan ini memberik kesan kepada 3,000 unit rumah di seluruh kampung.

“Tapi alhamdulillah dengan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turun ke kawasan kita tempoh hari untuk ziarah mangsa banjir malah hari ini kita terharu dengan kehadiran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan membawa beberapa bantuan beramah mesra menyantuni mangsa-mangsa banjir,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pontian itu meneruskan Misi Sukarelawan Bantuan Banjir Ibu Pejabat UMNO pada semalam apabila menyampaikan barangan keperluan asas di UMNO Bahagian Petaling Jaya dan Puchong sebelum diagihkan kepada mangsa banjir. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.