800 Ahli KRT Sedia Digerakkan Bantu Mangsa Banjir Di Johor

KOTA TINGGI, 3 Jan – Seramai 800 ahli Komuniti Rukun Tetangga (KRT) telah bersiap sedia untuk digerakkan bagi membantu mangsa banjir yang kini melibatkan tujuh daerah di negeri ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata fokus KRT adalah membantu dalam proses pembersihan dan membuka dapur komuniti untuk menyediakan makanan dan minuman yang diperlukan mangsa banjir.

Beliau berkata aktiviti memasak dapur komuniti tidak dilakukan di pusat pemindahan sementara (PPS) sebaliknya di sebuah pusat berlainan dan bekalan makanan serta minuman dihantar kepada mangsa banjir.

“Johor kita sudah maklum (banjir) dan atur persiapan awal sebelum banjir berlaku. Jentera KRT akan siap sedia bergerak di daerah dan kawasan berdekatan untuk turun membantu mangsa-proses pembersihan mangsa banjir dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan Mawai, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan KRT membantu mangsa banjir di Johor. —

Halimah berkata secara keseluruhan terdapat seramai 8,330 ahli KRT di seluruh negara yang digerakkan di negeri-negeri terjejas banjir seperti di Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan.

“Contoh di Selangor semua ahli-ahli KRT turun membantu. Macam di Taman Nanding, lebih 150 ahli KRT turun bantu badan bukan kerajaan (NGO), pelajar universiti dan lain-lain yang mahu libatkan diri secara bersama untuk bantu pembesihan rumah mangsa,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berharap agar Bantuan Wang Ihsan (BWI) dapat disalurkan kepada mangsa banjir secepat mungkin.

“Saya harap kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mendaftarkan mangsa banjir ini dapat berbuat demikian secepat mungkin supaya bantuan wang BWI diturunkan secepat mungkin kepada mereka.

“Jadi keperluan wang itu sangat penting untuk mereka beli barang di dalam rumah dan sebagainya,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.