Pelbagai Strategi Rancakkan Industri Pelancongan Melaka – Sulaiman

JASIN, 1 Jan – Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran lebih ramai pelancong ke Melaka tahun ini dengan merangka pelbagai strategi baharu termasuk mewujudkan lebih banyak produk dan lokasi pelancongan dalam usaha merancakkan semula industri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata tarikan pelancongan perlu diperbanyak bagi memulihkan sektor itu selepas pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak lebih setahun merencat dan menjejaskan kedatangan pengunjung.

“Sebagai contoh, kita wujudkan beberapa lagi produk baharu di bawah Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Perbadanan Muzium Melaka serta Melaka World Heritage,” katanya kepada pemberita selepas menutup Rim Charity Fun Ride 2022 dan Kenduri Kesyukuran Dewan Undangan Negeri Rim di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan sektor pelancongan penting kerana setiap tahun, ia menyumbang kira-kira 45 peratus ekonomi rakyat di negeri itu.

“Ia telah membuka banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada pengusaha serta penduduk di negeri ini, meliputi perkhidmatan penginapan seperti hotel, chalet dan inap desa, penyediaan makanan, minuman serta pengangkutan,” katanya.

Sulaiman berkata walaupun hanya 1.1 juta pelancong disasarkan tahun ini, beliau percaya jumlah itu mampu melebihi sasaran yang ditetapkan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.