Pasca Banjir: Bentong Dijadikan Kawasan Angkat KPLB

TEMERLOH, 30 Dis – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjadikan daerah Bentong sebagai kawasan angkat bagi menjalankan gerak kerja pascabanjir, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sukarelawan daripada agensi di bawah kementerian itu akan digerak ke daerah itu bagi menjalankan kerja pembersihan dan pendawaian di premis atau rumah mangsa banjir.

“Pasukan petugas akan turun di daerah berkenaan untuk tengok kerosakan atau sebagainya, jika perlu jalankan kerja pembersihan selain kerja pembaikan melibatkan pendawaian yang kita ada GiatMARA untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan berupa dapur gas dan toto kepada mangsa banjir di Kampung Batu Kapor di sini semalam, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun.

Selain itu, beliau memaklumkan lebih 2,000 sukarelawan antaranya daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) digerakkan ke lokasi banjir di seluruh negara bagi membantu mereka yang terjejas.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata selain kerja-kerja pembersihan pihaknya turut menumpukan pembaikan prasarana penduduk di luar bandar termasuk kediaman mereka.

“Untuk rumah yang perlu baiki kerosakan kami anggarkan peruntukan sehingga RM15,000 manakala untuk bina baharu pula sehingga RM56,000…proses pengumpulan maklumat mengenai kerosakan ini semua telah dan akan dibuat oleh pegawai terlibat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.