5,525 Anggota Bomba Siap Siaga Hadapi Kemungkinan Banjir Di Empat Negeri

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah melaksanakan persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir di empat negeri dengan kesiapsiagaan seramai 5,525 anggota.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata jumlah itu merangkumi 2,817 pegawai bomba, 628 pegawai bomba bantuan dan 2,080 pasukan bomba sukarela.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk melakukan persiapan awal anggota, aset dan jentera” katanya dalam hantaran di laman Facebook semalam.

Beliau berkata seramai 1,889 anggota membabitkan 33 balai bomba di Sungai Mersing, Johor diikuti 1,660 anggota dari 26 balai di Sungai Pahang, Sungai Kuantan serta Sungai Rompin, Pahang diarah agar bersedia menghadapi bencana banjir.

Turut terlibat 964 anggota membabitkan 17 balai bomba di Sungai Besut, Sungai Dungun dan Sungai Terengganu, Terengganu serta 1,012 anggota dari 21 balai di Sungai Kelantan dan Sungai Golok, Kelantan.

“Insya-Allah, saya dan pasukan akan sentiasa kemas kini serta memantau keadaan dari semasa ke semasa dan bersedia menggerakkan lebih banyak aset dalam apa jua kemungkinan,” katanya sambil menambah persiapan logistik turut dilakukan yang membabitkan 16 kenderaan marin, 45 kenderaan angkut dan 121 kenderaan utiliti.

Terdahulu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula 31 Dis ini manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Jan 2022. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.