Tindakan Tegas Akan Dikenakan Terhadap Individu Langgar HSO – Khairy

PUTRAJAYA, 29 Dis – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu positif COVID-19 yang melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia susulan data yang diperoleh dari aplikasi MySejahtera antara 1 dan 28 Dis lepas menunjukkan sebanyak 1.4 peratus individu positif COVID-19 telah melanggar perintah tersebut.

“KKM sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas individu berkenaan.

“Sebelum ini kita (KKM) tidak ambil apa-apa tindakan tetapi walaupun hanya 1.4 peratus kita akan kenakan tindakan. Data aplikasi MySejahtera menunjukkan mereka keluar semasa HSO sebab ada rekod ‘check-in’,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Khairy berkata golongan tersebut boleh dikenakan denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sementara itu, mengenai persediaan Malaysia ke arah fasa endemik, Khairy berkata usaha itu terbantut kerana kemunculan varian Omicron malah masih terlalu awal untuk KKM menjangkakan tahap keseriusan varian tersebut.

“Kita bersedia untuk gelombang Omicron dari segi kawalan sempadan diperketat, keupayaan pengesanan kontak dipertingkatkan dengan teknologi, lebih ramai orang menerima suntikan dos penggalak dan memastikan kapasiti hospital bersedia untuk lonjakan (kes),” katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata KKM sentiasa bersiap siaga dan bersedia meningkatkan pengawasan terhadap varian tersebut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.