OPS BAHIS: Kita Mahu Mangsa Banjir Jalani Kehidupan Normal Secepat Mungkin – Annuar

HULU LANGAT, 29 Dis – “Kita kalau boleh mahu mereka (mangsa banjir) kembali (kepada kehidupan) normal secepat mungkin,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) di bawah inisiatif KKMM itu mengamalkan konsep ‘keluarga angkat’ dengan para sukarelawan bersama mangsa membersihkan rumah yang terjejas dalam tempoh lima hari operasi berkenaan dijalankan.

“Malah sukarelawan juga perlu memastikan setiap barangan asas seperti tilam, bantal dan sebagainya diganti dengan yang baharu kepada mangsa-mangsa banjir selepas selesai proses pembersihan,” katanya kepada pemberita semasa menyertai 153 sukarelawan menolong membersihkan rumah mangsa banjir di Sungai Lui dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain kawasan di Sungai Lui, Ops BAHIS turut melibatkan dua lokasi perumahan yang terjejas banjir iaitu di Bukit Changgang, Kuala Langat dan Taman Sri Muda, Shah Alam.

Katanya, pihaknya menyasarkan kira-kira 500 rumah yang terjejas untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk disinfeksi dengan melibatkan lebih 1,000 sukarelawan di ketiga-tiga lokasi berkenaan.

“Kita memperuntukkan RM500,000 yang disumbangkan melalui pelbagai pihak. Peruntukan ini termasuk pemberian sumbangan wang tunai RM500 kepada mangsa banjir yang bersama membersihkan rumah sendiri sepanjang tempoh lima hari ini,” katanya.

Sebelum itu, kira-kira 11.30 pagi, Annuar tiba di Sekolah Kebangsaan Sungai Lui bagi melancarkan Ops BAHIS yang bermula hari ini hingga 2 Jan dan memberi ucapan kepada para sukarelawan terdiri daripada pelbagai pihak antaranya warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sebelum memulakan kerja-kerja pembersihan.

Selang beberapa minit kemudian, Annuar menuju ke kediaman Zainal Mohd Rahima, 49, seorang mangsa banjir di Sungai Lui bagi meninjau keadaan rumahnya yang terjejas teruk akibat banjir pada 18 Dis lepas.

Sejurus tiba dan tanpa melengahkan masa, Annuar memulakan pelaksanaan Ops BAHIS dengan melakukan kerja mencuci pinggan mangkuk yang kotor serta diselaputi lumpur di bahagian dapur rumah tersebut yang terletak di Batu 20 Sungai Lui itu.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, Zainal meluahkan rasa syukur kepada semua pihak termasuk Annuar, sukarelawan dan badan bukan kerajaan yang telah membantunya dalam kerja-kerja pembersihan rumahnya.

“Rasa sedih ada juga sebab Tan Sri (Annuar) kena tolong cuci pinggan tetapi bila dah jadi macam ini agak terhibur jugalah,” kata pekerja swasta itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.