Southern Volunteers Jadi Sebahagian JPBN Johor – Hasni

ISKANDAR PUTERI, 28 Dis – Pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) kini menjadi anggota jawatankuasa tetap dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri menghadapi banjir.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata persiapan menghadapi banjir perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk pascabanjir supaya sukarelawan SV dapat digerakkan untuk memberikan bantuan.

“Saya telah bersetuju supaya SV ini jadi jawatankuasa tetap dalam JPBN Johor. Ini bermakna SV sebaris dengan agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk beri bantuan semasa banjir.

“Perancangan kita perlu merangkumi semasa dan selepas banjir untuk memudahkan pihak seperti SV menyusun sumbangan daripada pelbagai pihak bagi diberikan kepada yang memerlukan,” katanya ketika berucap selepas menyaksikan penyerahan bantuan banjir bernilai RM400,000 daripada 20 syarikat tempatan kepada SV di pejabat Sekretariat Sukan Malaysia (Sukma) di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor On Jabbar ketika ditemui pemberita berkata beliau menyambut baik pengumuman Hasni, dan menjelaskan sukarelawan SV bersedia untuk digerakkan dalam memberikan bantuan sekiranya banjir berlaku di negeri ini.

Beliau berkata secara keseluruhan terdapat 20,000 sukarelawan SV di setiap daerah dan beliau yakin jumlah itu akan terus bertambah.

“Persediaan SV untuk hadapi banjir dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa sebelum banjir seperti mengumpul barangan yang diperlukan mangsa banjir.

“Fasa kedua pula adalah semasa banjir dan kita bersedia untuk bertugas di pusat pemindahan sementara serta menghantar bantuan bekalan makanan, manakala fasa ketiga adalah pascabanjir yang tertumpu kepada kerja-kerja pembersihan,” katanya.

On berkata kesemua barangan bantuan banjir yang disumbangkan 20 syarikat tempatan itu merupakan antara persiapan Johor menghadapi banjir dan ia dikumpulkan di pusat pengumpulan di pejabat Sekretariat Sukma.

Bagaimanapun beliau berkata sekiranya terdapat petunjuk daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa cuaca baik di Johor dan tidak berlaku banjir, barang-barang itu akan dihantar ke negeri yang dilanda banjir seperti di Selangor, Pahang dan Melaka.

Mengulas lanjut, katanya tumpuan sukarelawan SV buat masa ini adalah kepada persediaan menghadapi banjir di Johor, dan menurutnya sukarelawan SV turut memberi bantuan mangsa banjir di Shah Alam dan Hulu Langat baru-baru ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.