BWI: RM34 Juta Disalurkan Kepada 34,000 Ketua Isi Rumah Terjejas Banjir Sehingga Semalam – PM

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM34 juta bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir sehingga semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dana yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir perlu dipermudahkan dan disegerakan.

“Agihan BWI ini sudah mula diterima mangsa banjir semalam,” katanya menerusi catatan di Facebook rasmi hari ini.

Beliau berkata mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali semalam memutuskan bantuan berkenaan akan dilaksanakan menerusi serahan tunai.

“(Ini) bagi memastikan mangsa banjir segera menerima BWI,” katanya.

Ismail Sabri berkata terdapat tiga kaedah penyaluran BWI iaitu serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), serahan tunai rumah ke rumah dan pemindahan tunai secara atas talian (EFT).

Katanya tiga kaedah berkenaan akan mempermudahkan urusan penyaluran BWI dengan lebih efektif dan pantas.

Beliau berkata bantuan berkenaan sudah mula diagihkan di peringkat PKOB dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Usaha untuk mengesan mangsa yang belum berdaftar sedang giat dijalankan oleh PKOB dan ICU (JPM),” katanya.

Sebelum ini Ismail Sabri dilaporkan sebagai berkata kerajaan bersetuju memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.