Banjir: Mangsa Di Empat Negeri Menurun Sedikit, Melaka Kekal

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri iaitu Selangor, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan berkurangan pada tengah hari ini manakala di Melaka tidak berubah.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah keseluruhan mangsa banjir di kelima-lima negeri pada tengah hari ini ialah 19,099 orang daripada 5,882 keluarga yang berlindung di 122 PPS di seluruh negara.

Jumlah itu menurun berbanding 20,026 orang daripada 6,136 keluarga melibatkan 130 PPS, pada pagi tadi.

Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 7,503 orang di 36 PPS tengah hari ini berbanding 7,751 orang di 39 PPS pagi tadi.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat dan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam berada pada tahap waspada, masing-masing mencatatkan paras 3.38 meter dan 1.89 meter setakat 10.45 pagi tadi.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 11,776 orang masih berada di 83 PPS tengah hari ini berbanding 12,692 orang di 90 PPS.

Enam daerah yang masih terjejas banjir di Pahang ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Kundang di Maran masih mencatatkan tahap melebihi amaran iaitu paras 21.06 meter tengah hari ini.

KELANTAN turut mencatatkan penurunan mangsa banjir tengah hari ini apabila seramai 78 orang daripada 23 keluarga berada di PPS Sekolah (SK) Tok Deh, Pasir Mas tengah hari ini berbanding 152 orang daripada 46 keluarga di PPS itu dan SK Gual Periok, pagi tadi.

Di NEGERI SEMBILAN, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir setakat tengah hari ini menurun sedikit kepada 54 orang daripada 18 keluarga berbanding 58 orang daripada 19 keluarga, pagi tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Triang Hilir dan Dewan Orang Ramai Kampung Puom di Jelebu.

Sementara itu, di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah mangsa banjir pada tengah hari ini tidak berubah dengan 26 orang daripada lapan keluarga masih berada di PPS SK Penghulu Benteng di Jasin.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.