Pelantikan Sebagai Timbalan Speaker, Penghormatan Buat Pemimpin Muda – Khaidhirah

MELAKA, 27 Dis – Datuk Khaidhirah Abu Zahar, wanita pertama dilantik memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu, menyifatkan pelantikannya sebagai penghormatan untuk mengangkat pemimpin muda khususnya golongan wanita di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim itu berkata pelantikan tersebut membuktikan kerajaan negeri Melaka sentiasa memartabatkan peranan golongan tersebut dalam pentadbiran dan pengurusan negeri itu dan mereka juga berpeluang menggalas tanggungjawab lebih besar.

MELAKA 27 Disember — ADUN Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka sekali gus menjadi wanita pertama yang menyandang jawatan berkenaan pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 hari ini.

“Saya pun terkejut dan tidak sangka juga apabila mendapat tahu bahawa saya adalah wanita pertama dan muda dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka dan peluang diberikan ini akan digalas dengan penuh tanggungjawab.

“Saya berharap pelantikan ini akan menjadi inspirasi golongan wanita muda lain dan saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua terutama pucuk pimpinan kerajaan negeri Melaka hari ini kerana telah memberi satu mandat yang besar kepada saya untuk memegang jawatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di luar Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di sini hari ini.

Khaidhirah, 37, yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka kelapan Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin berkata tanggungjawab yang digalasnya dilihat akan membantunya menjadi pemimpin muda yang lebih matang dalam pentadbiran serta pengurusan melibatkan kerajaan negeri dan politik.

Beliau berkata antara fokus akan diberi tumpuan ketika mempengerusi sidang DUN ialah memastikan setiap ADUN memberi keutamaan pada isu atau permasalahan rakyat.

“Kontroversi yang tidak berkaitan perlu dikurangkan agar perjalanan sidang DUN dapat berjalan lancar dan isu-isu rakyat dapat diselesaikan dengan baik,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.