Ibrahim Durum Angkat Sumpah Sebagai Speaker DUN Melaka

MELAKA, 27 Dis – Bekas Exco Kerajaan Negeri Melaka Datuk Ibrahim Durum mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu berkuat kuasa hari ini, dalam Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15.

Usul melantik Ibrahim dikemukakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

Usul pelantikan Ibrahim diterima selepas mendapat sokongan majoriti 15 daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala lima ADUN berkecuali dan lapan ADUN tidak hadir pada sesi sidang DUN berkenaan.

Sementara itu ADUN Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka dan beliau merupakan wanita pertama yang dilantik memegang jawatan itu di Melaka.

Seramai 20 ADUN mengangkat sumpah pada persidangan sidang DUN hari ini, dengan tujuh yang tidak hadir ialah ADUN Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman, Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai), Rosli Abdullah (Kuala Linggi), Adly Zahari (Bukit Katil), Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia).

ADUN Bandar Hilir Leng Chau Yen pula tiba lambat dan terlepas sesi mengangkat sumpah berkenaan. – BERNAMA