Banjir: Bantuan RM1 Juta Kepada Koperasi Terjejas, Pemindahan KWRS Dikurangkan

PUTRAJAYA, 27 Dis – Kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan bantuan permulaan sebanyak RM1 juta untuk koperasi-koperasi yang terjejas akibat banjir, dengan peruntukan RM30,000 maksimum bagi setiap koperasi yang layak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata bantuan itu tidak terhad untuk premis koperasi yang terjejas akibat banjir sahaja, tetapi juga untuk membiayai kerosakan dan kerugian prasarana di tapak pertanian, perladangan dan penternakan yang diusahakan oleh koperasi yang terjejas.

Noh dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan insentif pengurangan pemindahan Kumpulan Wang Rezab Statutori (KWRS) untuk koperasi daripada 15 peratus kepada lapan peratus daripada untung bersih teraudit selepas pelarasan operasi.

“Ini akan memberi pengurangan kepada koperasi sebanyak tujuh peratus yang boleh dimanfaatkan untuk memulihkan perniagaan koperasi yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu diberikan kepada koperasi mulai tahun kewangan 31 Disember 2021 sehingga 30 November 2022.

Noh berkata SKM turut membenarkan koperasi di negeri-negeri yang terjejas dengan banjir untuk menangguhkan pengauditan akaun koperasi disebabkan kemusnahan dokumen perakaunan akibat banjir.

“Penangguhan ini juga tidak menolak kemungkinan koperasi juga terpaksa menangguhkan mesyuarat agung tahunan ke satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian, sehingga semua urusan pasca banjir selesai sepenuhnya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.