Agong Santuni Mangsa Banjir Di Temerloh

TEMERLOH, 27 Dis – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, berkenan mencemar duli melawat mangsa banjir di Temerloh, yang merupakan antara daerah teruk terjejas bencana itu baru-baru ini.

Keberangkatan Seri Paduka ke daerah itu turut diiringi dua anakanda iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan menyantuni 383 mangsa daripada 146 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Cermin di sini, selepas rumah mereka dinaiki air sejak Ahad lepas.

Bagi warga emas Ruziah Md Zain, 68, berkata ini merupakan kali pertama dia bertemu Seri Paduka yang turut berkenan bertanya khabar dan mengurniakan sumbangan kepada dirinya, yang akan digunakan sebaiknya untuk membaiki rumah yang rosak teruk.

“Seri Paduka bertanya tentang kaki mak cik yang gatal dan naik merah-merah sejak beberapa hari lalu dan terus mengarahkan doktor bertugas untuk periksa,” katanya yang menetap di Sungai Dingin, di sini.

Seorang lagi mangsa Siti Aminah Ali, 75, yang kehilangan tempat tinggal selepas rumahnya di Kampung Mambang Berulang di sini, dinaiki air sehingga paras siling berkata Seri Paduka menasihatkannya untuk menjaga kesihatan.

Selain Bukit Cermin, Al-Sultan Abdullah turut berkenan berangkat ke Kampung Serdang di sini, bagi meninjau operasi pembersihan pascabanjir di kampung itu yang turut disertai Tim Bantuan Bencana Istana Negara.

Di situ, Seri Paduka berkenan ke rumah pesara Abd Razak Ariffin, 66, yang terletak di hadapan Sungai Semantan, yang dinaiki banjir setinggi paras tingkap di bahagian atas rumah dua tingkat tersebut.

Abd Razak berkata Al-Sultan Abdullah yang berkenan meninjau kemusnahan di rumahnya turut menitahkan pegawai kerajaan yang berada di situ untuk membantu penduduk kampung membaiki kerosakan akibat banjir sebaik mungkin.

“Saya tak sangka Seri Paduka berkenan masuk ke rumah saya kerana keadaan sangat teruk. Lumpur tebal dan semua perabot dihimpunkan di laman kerana semuanya belum sempat dibersihkan memandangkan saya baru pulang (ke rumah) pagi ini.

“Alhamdulillah ada pasukan sukarelawan yang datang membantu kerana bila lihat keadaan rumah, saya tak fikir ia boleh diselesaikan dalam masa seminggu jika tiada yang datang menolong,” katanya.

Abd Razak yang merupakan anak jati kampung itu berkata banjir yang berlaku pada Ahad lepas, antara yang paling teruk pernah dialaminya kerana air naik begitu pantas menyebabkan mereka lapan orang sekeluarga hanya dapat mencapai baju dan dokumen penting sebelum terus ke PPS.

Katanya, walaupun hujan tidak begitu lebat seperti di tempat lain, namun air sungai melimpah cepat disebabkan air dari hulu turun dan banjir hanya surut selepas empat hari. – BERNAMA