Banjir: Beberapa Menteri Batal Cuti Tiba Di Tanah Air, PM Batal Umrah

HULU LANGAT, 26 Dis – Beberapa menteri Kabinet yang bercuti ke luar negara telah membatalkan cuti mereka dan kembali ke tanah air.

Tanpa memberikan nama, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memaklumkan perkara itu berkata menteri-menteri berkenaan kini sedang dikuarantin.

“Ada dua, tiga yang telah pulang. Mereka ini merancang ke luar negeri lebih awal sebelum banjir berlaku dan sebelum arahan (batal cuti) dikeluarkan.

“Saya tidak mahu sebut siapa, tetapi mereka kini telah balik dan saya nasihatkan mereka kuarantin dahulu untuk keselamatan. Isnin atau Selasa mereka akan keluar,” katanya ketika ditanya media mengenai perkara itu selepas meninjau kerja-kerja pascabanjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, di sini hari ini.

Perdana Menteri turut memaklumkan beliau sendiri membatalkan rancangannya untuk melaksanakan umrah yang sepatutnya pada 1 Jan depan.

Katanya lagi, ada dalam kalangan menteri yang telah berada di luar negara membatalkan cuti mereka, tetapi masih tidak dapat pulang ke tanah air kerana ketiadaan penerbangan.

Terdahulu, Perdana Menteri mengeluarkan arahan menteri Kabinet yang sedang atau merancang bercuti supaya membatalkan cuti mereka sehingga bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

Ia disusuli Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengarahkan semua Ketua Setiausaha setiap kementerian serta Ketua Pengarah setiap jabatan dan agensi yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti membatalkan percutian masing-masing, berkuat kuasa serta-merta. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.