Agong Titah Kerajaan Lakukan Pascanilai Atasi Masalah Banjir Di Bandar

SHAH ALAM, 25 Dis – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah agar pihak kerajaan mengadakan pascanilai berkenaan sistem perparitan bagi memastikan kejadian banjir kilat di kawasan bandar dapat diatasi.

“Saya (Beta) menyarankan pihak kerajaan untuk mengadakan pascanilai dari segi perparitan di sekitar bandar, mudah-mudahan dapat kurangkan kejadian seperti banjir kilat untuk berlaku semula,” titah Seri Paduka kepada Bernama selepas mengadakan lawatan di Masjid Taman Sri Muda, serta kawasan di sekitarnya yang terjejas teruk akibat banjir, hari ini.

Al-Sultan Abdullah yang menyantuni dan memberikan sumbangan kepada penghuni Taman Sri Muda menzahirkan rasa kagum terhadap kecekalan ditunjukkan penduduk terjejas akibat bencana itu.

“Saya (Beta) pergi rumah ke rumah dan alhamdulillah nampak mereka bersemangat kental untuk meneruskan kehidupan. Terima kasih juga kepada badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang terlibat untuk membantu.

“Saya (Beta) difahamkan ada kawan-kawan dari Kelantan dan Pahang pun turun untuk bantu, ini menunjukkan semangat mereka untuk membantu mereka yang memerlukan,” titah Seri Paduka.

Turut mengiringi Seri Paduka ketika lawatan berkenaan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.