Banjir: Jumlah Mangsa Meningkat Di Kelantan, Empat Negeri Lain Menurun

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan mencatatkan peningkatan malam ini manakala empat negeri lain termasuk Selangor menunjukkan penurunan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan kekal.

Di KELANTAN, setakat 10 malam, jumlah mangsa meningkat kepada 1,666 orang berbanding 1,496 orang petang tadi, melibatkan 10 PPS dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya manakala tiga sungai mencatat paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang serta Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir sedikit menurun kepada 34,487 orang yang ditempatkan di 246 PPS berbanding 34,971 orang di 249 PPS petang tadi, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sembilan daerah kekal dilanda banjir iaitu Kuantan, Temerloh, Bentong, Bera, Jerantut, Pekan, Lipis, Maran dan Raub.

Dalam pada itu, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menerusi catatan Facebook memaklumkan laluan Chenor ke Karak masih belum dibuka di kedua-dua arah manakala laluan dari Gombak ke Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak telah dibuka.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 114 orang setakat 8 malam tadi.

“Di Jasin, jumlah mangsa kekal 68 orang daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu Benteng manakala 46 orang daripada 15 keluarga di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China di Alor Gajah,” katanya.

Di PERAK, banjir di Changkat Jong, Teluk Intan menunjukkan trend penurunan dengan 153 orang berada di dua PPS di daerah Hilir Perak setakat 8 malam berbanding 182 orang petang tadi.

Jurucakap APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata seramai 105 orang sedang berlindung di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan 48 lagi di PPS Dewan SMK Abdul Rahman Talib.

Di SELANGOR, Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) memaklumkan negeri itu merekodkan penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 18,126 orang melibatkan 103 PPS setakat 9 malam berbanding 22,250 orang di 111 PPS petang tadi.

JPS memaklumkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat masih melebihi paras bahaya iaitu 4.31 meter setakat 9.15 malam.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu kekal 301 orang dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu.

Di KUALA LUMPUR, menurut aplikasi Info Bencana JKM, jumlah mangsa kekal 314 orang di dua PPS. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.