Tiada Negeri Dikecualikan Terima Bantuan SWCorp- Reezal Merican

MARAN, 23 Dis – Semua negeri terjejas banjir akan menerima bantuan pemulihan dan pembersihan meskipun tidak mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Memberikan jaminan itu, beliau berkata negeri Selangor misalnya yang tidak mengguna pakai Akta 672 tetapi diberikan bantuan pemulihan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Reezal Merican berkata, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM6 juta kepada SWCorp untuk melaksanakan proses pembersihan di kawasan rumah dan jalan di negeri yang terjejas akibat banjir.

“Walaupun Selangor mempunyai sistem pengurusan pepejal mereka sendiri tetapi dalam keadaan ini kita prihatin membantu selain akan memohon bantuan tambahan dalam memastikan pemulihan pasca banjir ini berjalan lancar.

SWCorp sudah pun dikerahkan untuk menggandakan aset bagi membantu proses pemulihan pasca banjir ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan di Chenor di sini, hari ini.

Mengikut Akta 672, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur adalah di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tujuh negeri lain iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai sistem pengurusan pepejal dan pembersihan awam sendiri.

Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak antara negeri yang terjejas akibat banjir sejak Ahad lepas hingga menyebabkan rumah penduduk ditenggelami air dan beberapa laluan ditutup.

Kawasan Shah Alam dan Hulu Langat, Selangor serta Mentakab, Pahang antara dua daerah yang terjejas teruk akibat bencana banjir sehingga ada yang menyifatkan ia sebagai sesuatu di luar jangkaan.

Terdahulu Reezal Merican melakukan tinjauan udara bersama Pasukan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sekitar Mentakab dan Maran, Pahang yang terjejas teruk akibat banjir sejak Ahad lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.