PM Arah Agensi Terlibat Adakan Sidang Media Harian Ops Banjir

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan kesemua agensi yang terlibat dengan bencana banjir untuk mengadakan sidang media harian Ops Banjir.

Ismail Sabri melalui catatan di laman Facebook rasmi beliau hari ini berkata sidang media itu bertujuan memastikan rakyat mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir serta persediaan yang perlu dalam menghadapi bencana.

“Rakyat perlu mendapatkan maklumat jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri,” katanya.

Dalam rajutan berkaitan di laman Twitter pula, Ismail Sabri berkata beliau telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membuat laporan harian kepada seluruh Keluarga Malaysia mulai hari ini.

Beliau menyenaraikan urutan sidang media yang akan dimulakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada 10 pagi dan diikuti oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang pada 12 tengah hari.

Pada 2 petang pula oleh Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid serta Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Aminuddin Hassim pada 4 petang.

“Saya yakin laporan ini dapat memberi gambaran jelas situasi terkini bencana di seluruh negara,” katanya.

Dalam rajutan itu, Ismail Sabri berkata penglibatan daripada seluruh barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana berkenaan harus berada di tahap sentiasa bersedia.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.