Kerja Baik Pulih Menara Komunikasi Terjejas Akibat Banjir Di Selangor Giat Dijalankan – Annuar

PUTRAJAYA, 23 Dis – Kerja-kerja membaik pulih menara komunikasi yang terjejas akibat banjir di Selangor sedang giat dijalankan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata setakat semalam (22 Dis), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengenal pasti sebanyak 342 menara komunikasi yang terkesan akibat banjir di negeri itu.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 153 menara telah berjaya beroperasi semula manakala 189 menara masih dalam proses baik pulih.

“KKMM melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi bagi membaik pulih kesemua menara yang terjejas susulan banjir melanda beberapa negeri termasuk kawasan-kawasan kritikal di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Banjir melanda Lembah Klang sejak Sabtu lepas (18 Dis) susulan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan terjejas kerana dinaiki air.

Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak.

Annuar berkata antara kekangan dihadapi MCMC dan syarikat telekomunikasi bagi membaik pulih menara tersebut adalah tidak dapat mengakses ke lokasi menara dan bekalan elektrik diputuskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tujuan keselamatan penduduk setempat.

“Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan menara telekomunikasi yang terjejas dijangka akan kembali beroperasi tidak lama lagi dan pemancar di kawasan yang terlibat akan diaktifkan semula sebaik sahaja bekalan elektrik disalurkan semula oleh TNB,” katanya.

Beliau berkata MCMC juga telah mengadakan perbincangan dengan persatuan radio amatur bertujuan mendapatkan bantuan perkhidmatan radio amatur sebagai saluran perhubungan alternatif bagi kawasan yang terkesan banjir.

“Kini, beberapa sistem radio amatur telah mula beroperasi dan ditempatkan di beberapa kawasan yang terjejas teruk oleh bencana banjir.

“Para penduduk diminta bersabar sementara tindakan mitigasi giat dijalankan bagi memastikan semua penduduk dapat kembali menikmati perkhidmatan telekomunikasi seperti sedia kala,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.