Banjir: Sedikit Peningkatan Mangsa Di PPS Beberapa Negeri Pagi Ini

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Situasi semasa bencana banjir yang memasuki hari keenam sejak melanda negara 17 Dis lepas, dilihat semakin baik berikutan peningkatan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) tidak begitu mendadak pada pagi ini berbanding semalam.

Negeri yang mengalami peningkatan jumlah mangsa di PPS adalah Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak, manakala Melaka kekal serta Kelantan terus mencatatkan penurunan.

Bagaimanapun, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) semalam memaklumkan paras air sungai di beberapa negeri yang terlibat banjir masih berada pada paras amaran dan waspada, kecuali di beberapa kawasan di Pahang yang menunjukkan trend menaik dan paras bahaya.

Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini seramai 42,529 orang di 281 PPS di semua daerah kecuali Rompin dan Cameron Highlands.

Beberapa sungai utama juga masih melebihi paras bahaya dengan trend menaik seperti di beberapa lokasi di Sungai Pahang termasuk Water Front Bera, Lubuk Pasu (Temerloh), Lubuk Paku (Maran) dan Kuala Sungai Chini (Pekan).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan cuaca di sesetengah kawasan di Bera dan Bentong hujan pagi ini, manakala di daerah lain cuaca baik sebelum ribut petir dijangka berlaku di sesetengah kawasan pada sebelah petang.

Sementara itu, pemegang konsesi lebuh raya utama di Pahang, ANIH Bhd melaporkan laluan Bentong ke Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan laluan Chenor ke Karak di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) belum boleh dilalui bagi kedua-dua arah.

Jumlah mangsa banjir di SELANGOR pula berlaku sedikit peningkatan pada pagi ini iaitu seramai 23,633 orang daripada 6,422 keluarga berbanding 23,375 orang daripada 6,349 keluarga pada malam tadi, melibatkan 128 PPS.

Selain itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan 15 jalan raya termasuk lima lorong masih ditutup bagi laluan kenderaan setakat 4 pagi tadi, melibatkan sembilan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini.

Penutupan jalan itu membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dengan lima jalan; masing-masing dua di IPD Petaling Jaya dan Kuala Selangor; manakala satu jalan ditutup masing-masing di IPD Kuala Langat, Sepang, KLIA, Hulu Selangor, Shah Alam dan Sabak Bernam.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir setakat 8 pagi tadi adalah 329 orang daripada 89 keluarga di lima PPS bagi daerah Seremban dan Jelebu, iaitu meningkat seorang mangsa berbanding malam tadi.

Di PERAK, sejumlah 268 mangsa banjir ditempatkan di dua PPS setakat 8 pagi ini.

Jurucakap APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata cuaca di lokasi banjir mendung selepas hujan renyai pada awal pagi tadi dan banjir dikhuatiri lebih buruk sekiranya hujan lebat berterusan.

Bagaimanapun paras semasa air di Sungai Bidor, Hilir Perak menurun kepada paras amaran iaitu 3.43 meter (m) berbanding semalam yang melepasi paras bahaya iaitu 3.80m.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata banjir di Kampung Talang, Kuala Kangsar malam tadi mula surut dan bunyi siren yang dikeluarkan pihak bomba sebagai peringatan untuk penduduk berjaga-jaga berikutan kawasan itu dinaiki air.

Di MELAKA pula, jumlah mangsa banjir kekal 165 mangsa daripada 41 keluarga setakat 8 pagi ini, kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin.

Dalam pada itu, KELANTAN menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir setakat 8 pagi ini melibatkan 2,500 orang berbanding 2,617 orang semalam, dengan 15 PPS dibuka di dua jajahan iaitu 10 di Pasir Mas dan lima di Kuala Krai, menurut Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi APM Kelantan Zainuddin Hussin.

Portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan hanya dua sungai utama berada pada paras bahaya melibatkan jajahan Pasir Mas iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan 9.53m dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang (9.47m).- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.