Loji Insinerator Pulau Langkawi Kurangkan Kebergantungan Di Tapak Pelupusan

ALOR SETAR, 21 Dis – Loji Insinerator Pulau Langkawi berkapasiti pembakaran pada tahap 80 tan sisa pepejal isi rumah sehari dapat mengurangkan kebergantungan pelupusan sisa ke tapak pelupusan sedia ada, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata pengoperasian loji insinerator bakal memberi manfaat kepada penduduk Pulau Langkawi selain membolehkan aktiviti ekonomi setempat berteraskan ekopelancongan diperkukuhkan tanpa perlu risau soal pelupusan sisa pepejal dan keperluan pembukaan tapak sisa pepejal baharu.

“Tempoh jangka hayat tapak pelupusan dapat dipanjangkan kepada tiga tahun hingga 2024 dengan kos keseluruhan kerja-kerja penggantian komponen insinerator dan pengoperasian sebanyak RM50.73 juta,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan ke Loji Insinerator Pulau Langkawi hari ini.

Beliau berkata sejumlah 130 tan sisa pepejal dianggarkan dijana setiap hari bagi seluruh Pulau Langkawi merangkumi 80 tan sisa isi rumah, 20 tan sisa industri, komersial dan institusi dan 30 tan sisa pukal dan sisa pembinaan.

Sementara itu, lawatan beliau ke loji insinerator hari ini adalah yang kedua bertujuan melihat pengoperasian dan penyelenggaraan loji itu yang mula beroperasi 20 Dis setelah Loji Rawatan Leachate (Leachate Treatment Plant – LTP) lulus ujian makmal dan mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau berkata lawatan itu bagi memastikan segala komitmen yang dibincangkan dalam lawatan sebelum ini, diambil serius oleh semua pihak syarikat.

Menurut beliau, proses penyelenggaraan di loji insinerator melibatkan penggantian komponen baharu telah selesai dilaksanakan oleh pembekal teknologi dari Korea Selatan yang diiktiraf, selain mendapat kelulusan dalam Fasa Pengujian dan Pentauliahan (Testing & Commisioning) bermula 15 Jun hingga 30 Julai 2021 bagi tempoh 45 hari.

“KPKT sentiasa komited dalam soal daya huni Keluarga Malaysia. Ini dapat diperkemaskan lagi dengan pengurusan sisa pepejal yang efektif demi kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.