Langkah Segera Bantu Mangsa Banjir, Southern Volunteers Hantar Bantuan Logistik

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kerajaan Negeri Johor melalui gerak kerja Southern Volunteers mengambil langkah segera dengan menghantar bantuan logistik bagi membantu mangsa banjir di Selangor, semalam.

Pengerusinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor melahirkan rasa syukur kerana gerak kerja Fasa 1 yang melibatkan peruntukan RM50 ribu telah selamat dilaksanakan.

“Alhamdulillah RM50 ribu kurnia daripada Tengku Mahkota Johor sendiri telah selamat dilaksanakan semalam untuk membantu mangsa-mangsa banjir khususnya di Selangor.

“Insya-Allah gerak kerja Fasa 2 dan Fasa 3 akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Ramai anak anak muda Johor yang tampil untuk menawarkan bantuan mangsa mangsa banjir. Syabas dan tahniah kita ucapkan,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-layang merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan pelbagai agensi yang terlibat dalam menyokong usaha terbabit.

“Semoga bantuan ini dapat mengurangkan beban yang dilalui mangsa-mangsa banjir,” katanya lagi.

Dilaporkan, setakat 4.30 petang tadi, jumlah mangsa di Selangor meningkat kepada 26,247 orang daripada 7,413 keluarga yang ditempatkan di 134 pusat pemindahan sementara (PPS). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.