Debat Gelanggang Terbaik Perkukuh Kualiti Kepimpinan Individu

PUTRAJAYA, 20 Dis – Gelanggang debat adalah antara kaedah terbaik untuk mempertajamkan kemahiran berucap dan memperkukuh kualiti kepimpinan individu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Berucap pada Majlis Kemuncak Debat Diraja Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2021 di sini hari ini, beliau berkata arena debat sinonim sebagai pelantar yang mengasah daya fikir pendebat untuk memahami naratif pelbagai isu.

“Dalam konteks pendidikan tinggi, debat mengajar dan membimbing mahasiswa tentang selok-belok dalam mentadbir sesuatu isu secara konsensus dengan meletakkan keutamaan kepada kesejahteraan umum. Dengan itu, mahasiswa dilatih untuk adaptasi kepada horizon pemikiran yang lebih luas dan matang.

“Inilah yang mahu kita terapkan kepada bakal graduan IPT (iaitu) kemahiran komunikasi yang jitu dalam melontarkan pandangan, dengan bersandar kepada keseimbangan ilmu dan akhlak,” katanya.

Noraini berkata gelanggang debat juga dapat menjadi wadah bermanfaat dalam iltizam melahirkan mahasiswa yang matang fikrah pemikirannya dan murni sahsiahnya.

“Mereka inilah nanti pewaris yang kita harapkan dan yakini, mampu berperanan sebagai penimbal, serta suara yang menepis ideologi yang tidak selari dengan norma masyarakat negara kita, yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Sebanyak 42 pasukan yang mewakili 23 IPT di Malaysia mengambil bahagian dalam Pertandingan Debat Diraja antara IPT yang dilaksanakan secara hibrid iaitu secara dalam talian pada 10 hingga 12 Dis lepas dan secara fizikal pada Jumaat hingga semalam, serta dibahagikan kepada kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Majlis Kemuncak Debat Diraja itu menyaksikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara dan membawa pulang piala, wang tunai RM5,000, sijil dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pasukan UIAM yang bertindak selaku pembangkang menewaskan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) selaku pencadang dengan usul “Sudah Tiba Masanya ASEAN Meninggalkan Dasar Berkecuali”.

Pendebat terbaik pula jatuh kepada Mohamad Ilham Hafiz Azmi dari UIAM dan membawa pulang wang tunai RM1,000, piala iringan dan sijil.

Pertandingan bahas ala Parlimen Asia edisi ke-22 itu dihoskan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan kerjasama DBP.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.