Perak Sedia Hulur Bantuan Kepada Negeri Terjejas – MB

LARUT, 19 Dis – Perak bersedia menawarkan bantuan kepada negeri jiran seperti Selangor dan Pahang yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda ketika ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak Khairul Ridzuan Mat Said mengenai bentuk bantuan yang akan disediakan kepada mangsa yang terjejas.

“Kami akan melihat apa keperluan yang boleh kami tawarkan kerana kita juga kena membuat persiapan untuk negeri Perak sendiri dan yang kedua perlu fikir bagaimana hendak sampaikan bantuan sebab terputus jalan.

“Jadi, apa bentuk bantuan (yang akan diberikan) kami akan putuskan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut Tahun 2021 di Dewan Majlis Daerah Selama di sini hari ini.

Dilapor, keadaan banjir di Selangor disifatkan luar jangka dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bertambah.

Situasi di negeri lain yang mengalami banjir seperti Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Kelantan turut menyaksikan pertambahan mangsa yang dipindahkan ke PPS susulan air banjir belum surut berikutan hujan berterusan

Sementara itu, Saarani berkata semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan agensi berkaitan perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi gelombang banjir di negeri ini.

“Kita tengok dalam amaran kaji cuaca (oleh Jabatan Meteorologi Malaysia) mengatakan sebahagian daripada negeri Perak juga akan dilanda angin kencang dan hujan lebat.

“Jadi, kita bimbang sekiranya ia (banjir) berlaku terutamanya pada waktu malam dan bekalan elektrik terputus maka kita akan menghadapi masalah. Jangan tunggu ia berlaku baru kita hendak buat (persiapaan menghadapi banjir),” katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata fenomena air pasang besar merupakan antara punca menyebabkan keadaan banjir di Changkat Jong di Teluk Intan bertambah buruk apabila air sungai tidak dapat mengalir ke laut.

“Oleh itu, penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai dan pantai dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak melaporkan mangsa banjir di Changkat Jong merekodkan 69 orang dari dua kampung iaitu Kampung Batu 8, Lorong Kedah dan Kampung Batu 9 dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Batu 4, Changkat Jong. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.