Misi Bantuan Banjir, Southern Volunteers Turun Padang Demi Khidmat Kepada Rakyat

JOHOR BAHRU, 19 Dis – Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari telah mengakibatkan beberapa kawasan seluruh negara dinaiki air dan walaupun ada kawasan-kawasan yang telah surut namun kesan bencana terbabit memberi kesan kepada rakyat.

Sehubungan itu, Southern Volunteers telah siap sedia menggerakkan misi membantu mangsa-mangsa banjir khususnya bagi usaha membantu, membersih dan pengagihan sumbangan barangan keperluan.

Pengerusinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor memaklumkan bahawa hasil keputusan mesyuarat tindakan khas hari ini, anggota Southern Volunteers telah siap sedia untuk dihantar ke kawasan-kawasan banjir.

“Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Johor selaku penaung Southern Volunteers yang telah menitahkan agar bersiap sedia bagi usaha membantu, membersih dan pengagihan sumbangan barangan keperluan,” katanya kepada UMNO Online.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-layang memohon doa dari semua agar dipermudahkan urusan dan keadaan kembali pulih.

Beberapa kawasan di Lembah Klang dan Selangor dilanda banjir sejak semalam menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pemandu terkandas akibat jalan raya sesak dan ditutup kerana dilimpahi air banjir.

Selain Lembah Klang dan Selangor, banjir turut melanda Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan dan terbaharu Perak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.