KPLB Peruntuk RM4 Juta Sebagai Bantuan Segera Kepada Mangsa Banjir

PADANG TERAP, 19 Dis – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi lapan agensinya memperuntuk sejumlah RM4 juta untuk menyalurkan bantuan segera berupa bakul makanan kepada mangsa banjir yang terlibat di beberapa negeri.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata agensi terbabit antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Felcra dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) masing-masing memperuntuk RM500,000 bagi tujuan itu.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun dan juga ketua-ketua agensi KPLB untuk mengambil tindakan segera bagi menyalurkan bantuan bakul makanan ini kepada mangsa banjir di kawasan terjejas.

“Bantuan bakul makanan ini adalah inisiatif KPLB sebagai tambahan kepada bantuan makanan sedia ada oleh agensi di bawah kementerian lain,” katanya pada sidang media selepas majlis Jalinan Rakyat Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka dekat sini hari ini.

Lebih 21,000 mangsa banjir membabitkan penduduk di Lembah Klang, Pahang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat tengah hari tadi.

Mahdzir berkata sukarelawan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) juga akan digerakkan dengan kadar segera bagi membantu mangsa banjir.

“Namun anggota sukarelawan ini hanya melibatkan mereka yang berada di negeri yang terlibat dengan banjir sahaja, bukannya sukarelawan dari negeri lain yang tidak terlibat banjir,” katanya.

Beliau berkata KPLB juga bersiap sedia menghadapi pasca banjir dari segi membaik pulih infrastruktur dan rumah penduduk yang rosak atau musnah akibat bencana alam itu selepas ini.

“Kita belum dapat lagi maklumat berapa ramai penduduk keseluruhan di kawasan luar bandar terjejas banjir ini tetapi kita dah bersedia… yang penting, pasca banjir ini seperti jambatan atau rumah yang rosak untuk kita bantu baiki.

“Saya berharap semua mangsa banjir bersabar dengan dugaan ini dan pada masa sama, saya meminta supaya mereka sentiasa berhubung dengan pihak berkaitan termasuk agensi KPLB bagi menyalurkan sebarang maklumat jika ada yang memerlukan sebarang bantuan,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.